Sunday 28 March 2010

MEMBERI UNDI KEPADA YANG BUKAN AHLI ADALAH DOSA BESAR

Setengah golongan beranggapan bahawa tidak seorang pun dikalangan kita yang tidak berdosa, semuanya melakukan dosa, bermula daripada pagi hinggalah ke malam. Kita semua bergelumang dengan dosa, jadi apa yang hendak dipelikkan sekiranya memberi undi kepada orang yang bukan ahli juga merupakan dosa, kita memang berdosa, siapakah yang maksum dikalangan kita ? Jadi apa yang hendak dipelikkan sekiranya kita melakukan satu dosa dalam keadaan kita sudah banyak melakukan dosa. Tidak hairanlah kita menyandarkan satu dosa kepada dosa-dosa yang sedia ada..

Fahamilah baik-baik!!! Bahawa semuanya ini adalah tipu daya nafsu dan syaitan yang paling merbahaya. Sekiranya manusia setiap kali dia melakukan dosa dan berfikiran sebagaimana di atas, maka tidak sekali-kali dia akan dapat memelihara dirinya daripada melakukan dosa. Tetapi jika sekiranya seseorang itu terkena sedikit kekotoran lalu dia terus berusaha untuk mencegah dan membersihkannya, orang yang seumpama ini boleh membakar beberapa kolam kekotoran.

Perlu difahami bahawa di antara satu dosa dengan dosa yang lain tidak serupa. Sekiranya dosa yang kita lakukan itu kesan buruknya menimpa ke atas seluruh rakyat, maka dosanya adalah jauh lebih besar kalau dibandingkan dengan dosa yang kesan buruknya hanya menimpa ke atas diri sendiri.

Jenis “Dosa Infiradi” ( individu ) walau bagaimana besar sekalipun tetapi kesan dan akibatnya hanya menimpa ke atas dua atau tiga orang sahaja. Sementara kaffarahnya dapat dilakukan melalui taubah dan istighfar. Harapan untuk mendapatkan keampunan bila-bila masa boleh berlaku. Tetapi jika sekiranya kesan dan akibat dosa yang dilakukan itu menimpa negara dan seluruh rakyat, maka dosa yang seumpama ini, tidak ada sebarang bentuk kaffarahnya di dalam Islam. Ia diibaratkan seumpama anak panah yang keluar dari busurnya dan tidak akan kembali lagi. Sebab itulah seseorang yang melakukan dosa yang seumpama ini, Jika sekiranya dia bertaubat maka paling kurang dosa yang telah lalu payah untuk dihapuskan dan harapan untuk berlepas diri daripada azab Allah S.W.T. adalah tipis. Berdasarkan kepada faktor ini maka dosa berzina, mencuri dan merompak juga tergolong di dalam dosa-dosa besar, tetapi masih kecil kalau dibandingkan dengan dosa yang kesan buruknya menimpa ke atas negara dan seluruh rakyat (iaitu memberi undi kepada mereka yang tidak mahu menegakkan hukum Allah dan mengekalkan undang-undang thoghut).

Memang benar bahawa saban hari kita melakukan pelbagai jenis dosa, kecil atau pun besar. Sungguhpun begitu dosa-dosa yang seumpama ini, insya-Allah, akan diampunkan oleh Allah S.W.T. jika sekiranya kita benar-benar bertaubat dan kita boleh membayar kaffarah bagi memohon keampunannya. Tetapi sedarilah ! janganlah kita sering melakukan dosa sehingga kita sanggup melakukan dosa yang tidak ada jalan untuk membayar kaffarah dan sukar untuk mendapat keampunan.

Ada juga yang berpendapat bahawa apalah yang ada pada satu undi kalau hendak dibandingkan dengan beribu-ribu undi ? Sekiranya satu undi sahaja diberikan kepada orang yang memperjuangkan kebathilan, apalah salahnya dan apakah kesannya yang akan menimpa agama, negara dan rakyat ? Kerana undi yang satu tidak ada harga kalau hendak dibandingkan dengan beribu-ribu undi yang lain.

Fahamilah dengan sebaik mungkin ! sekiranya setiap individu pada waktu mengundi berfahaman bahawa satu undi sahaja bukannya ada harga sangat, maka ketika itu berlakulah pemberian undi dengan bebas dan mengikut sesuka hati dikalangan pengundi.

Kita mestilah memahami bahawa undang-undang pilihan raya yang ada pada hari ini menilai kemenangan seseorang berdasarkan kepada bilangan undi terbanyak (majoriti). Sesiapa sahaja boleh memerintah negara dan rakyat apabila memperolehi kelebihan undi, walaupun hanya dengan satu undi yang diperolehi itu dari seorang yang buta atau jahil.

Sekiranya seorang calon yang rosak agama, aqidahnya dan akhlaknya bertanding dengan seorang calon yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut dan menang dengan satu undi sahaja, maka dia dikira menang dalam pertandingan dan boleh menguasai dan memerintah negara dan masyarakat Islam mahu pun kafir. Begitulah juga seorang yang jahil dan buta yang tersalah membuang undi menyebabkan orang yang tidak faham agama akan menang dan boleh memusnahkan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu tiap-tiap undi mempunyai nilai dan harga yang mahal. Setiap individu muslim mestilah mengambil sikap berhati-hati dalam menunaikan haknya dalam pilihan raya, supaya undinya diberikan kepada mereka yang berhak dan layak menerimanya.

Sunday 7 March 2010

Pilihanraya Bukan Urusan Dunia Semata mata

Fahaman salah yang merbahaya, yang sedang melanda ummat Islam hari ini ialah anggapan mereka bahawa agama itu hanyalah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja sedangkan politik pilihan raya dan muamalah hidup tidak ada kena mengena dengan agama dan menganggap ia hanya duniawi semata-mata.


Oleh yang demikian, ramai dikalangan ummat Islam yang sembahyang, puasa dan tidak pernah meninggalkannya serta mengikut syarat-syarat dan rukun-rukunnya tetapi tidak pernah memikirkan tentang halal haram dalam muamalah jual beli, dalam nikah kahwin, talak dan persaudaraan Islam yang ada hubung kaitnya dengan hukum Islam.

Masyarakat Islam yang seumpama ini akan menganggap bahawa pilihan raya adalah duniawi semata-mata. Berdasarkan kepada fahaman inilah mereka bebas memilih sesiapa sahaja yang memerintah dan tidak merasa berdosa di atas pilihan mereka itu. Natijahnya kita dapati ramai dikalangan masyarakat Islam hari ini yang memberi undi mereka kepada orang yang bukan ahli sedangkan mereka sendiri tahu orang yang mereka pilih itu tidak layak, tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam. Mereka juga tahu lawan yang bertanding dengan pilihannya adalah lebih berhak diundi tetapi sengaja tidak memilihnya.


Semua ini berlaku kerana mereka mengundi bukan atas dasar agama tetapi atas dasar kawan, keturunan, keluarga, wang ringgit dan nafsu. Mereka telah menyalahgunakan hak mengundi dan tidak terasa bahawa mereka telah melakukan jenayah dan dosa mengikut pandangan syarak. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini bahawa suara (pembuangan undi) adalah merupakan syahadah. Al-Quran mengajar kita bahawa :


“Apabila kamu mengucapkan sesuatu maka hendaklah kamu bersikap benar dalam ucapanmu walaupun ucapan kamu menyalahi kaum kerabat kamu” ( Al – Ana’m )


Menunaikan hak mengundi dengan betul adalah dianggap menunaikan amanah, sekiranya kita memberi undi kepada orang yang tidak layak sedangkan di waktu itu ada orang lain yang lebih layak, maka pada waktu itu, berdasarkan kepada harga dan nilai undi, kita telah memberi syahadah dusta. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. memberi amaran supaya meninggalkan cakap bohong, disamping itu Allah S.W.T. mendedahkan najis penyembahan berhala melalui firmanNya :


“ Jauhilah najis penyembahan berhala dan jauhilah bercakap bohong”


Banyak hadith yang menerangkan bahawa syahadah dusta termasuk dalam dosa-dosa besar dan akan menerima azab dari Allah S.W.T. Hadharat Abu Bakar As-siddiq menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : “Adakah kamu tahu apakah itu dosa-dosa besar ? Iaitu menyekutukan Allah dengan yang lain, menderhakai kedua ibubapa dan dengarlah baik-baik ! sambil dia bangun dari tempat duduknya lalu mengucapkannya dalam keadaan berdiri : “Memberi syahadah dusta dan bercakap bohong juga adalah dosa besar, beliau mengulanginya beberapa kali sehingga kami berkata di dalam hati kami mudah-mudahan beliau berhenti dari ucapannya”. Janji buruk ini hanyalah akan menimpa ke atas mereka yang menyalahgunakan hak mengundi disebabkan hubungan peribadi dan wang ringgit, mereka menunaikannya kepada orang yang bukan ahli.

Monday 1 February 2010

MENGUNDI ADALAH WAJIB SYAR`IE

Fahaman salah yang sedang melanda ummat Islam hari ini adalah berpunca daripada sifat semulajadi mereka sendiri, kerana sifat semulajadi seorang yang mulia akan menolak semua perkara yang bertentangan dengannya.


Oleh kerana percaturan polotik pada hari ini dipenuhi dengan pembohongan, penipuan, rasuah, ugutan dan pembunuhan sesama sendiri lalu mereka menolak seratus peratus pilihan raya serta menganggap politik sesuatu yang tidak berguna , kotor, karut, penuh penipuan, urusan dunia semata-mata dan yang paling menyedihkan apabila mereka menganggap politik dan pilihan raya tidak ada kena mengena dengan agama. Maka ramailah dikalangan masyarakat Islam hari ini tidak membicarakan langsung tentang politik pemerintahan, ada juga yang tidak mengambil apa-apa bahagian dalam pilihan raya sama ada menjadi calon atau mengempen bagi mana-mana pihak atau menyokong mana-mana parti. Ada pula yang tidak mahu mengundi bagi menunaikan hak mereka, malahan membenci politik dan pilihan raya. Semua ini berlaku kerana mereka menganggap politik adalah dunia semata-mata, karut, penuh penipuan dan sebagainya.


Golongan ini, walaupun niat mereka baik, mereka mencintai kebenaran tetapi selagi mana kefahaman salah ini melekat di dalam pemikiran dan fahaman mereka, ia amat membahayakan dan memudharatkan bukan sahaja diri mereka bahkan agama dan negara.


Suatu kenyataan bahawa semenjak dahulu lagi pemerintahan telah dikuasai oleh mereka yang hanya mementingkan kuasa, kesenangan, pangkat dan harta benda tanpa mengambil kira kepentingan agama. Hasil daripada itulah berlakunya penyelewengan demi pemyelewengan dan salah guna kuasa sehingga pada zaman kita pada hari ini. Perkara ini akan berterusan selagi mana para ulamak, orang-orang yang amanah tidak menonjolkan diri dalam arena politik, tidak mahu menjadi calon serta tidak mahu mengundi dan mengempen.


Najis penyelewengan akan menyerap sedikit demi sedikit daripada buruk kepada bertambah buruk, teruk kepada bertambah teruk, bermula dari kesalahan yang membawa kepada fasiq sehinggalah kesalahan yang membawa kepada syirik iaitu persoalan aqidah. Penyelewengan yang bermula dari pemimpin akan menjalar kepada rakyat sama ada tua atau muda dan terus menyusup ke setiap rumah satu persatu. Seorang yang cerdik dan bermaruah tidak akan membiarkan penyelewengan berterusan berlaku atau hanya melihat dan memperkatakan dari jauh tanpa membuat sebarang tindakan bahkan mereka hendaklah terjun sendiri ke dalam medan politik, bertarung dan berusaha sedaya upaya membasmi segala kemungkaran, penyelewengan dan memperbetulkan kesalahan mengikut kehendak Islam yang sebenar serta memimpin manusia ke arah kebenaran.


عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ أَنَّهُ قَالَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ ( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ) وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ ( رواه الترمذي )


Terjemahannya : Berkata Abu Bakar As-Siddik r.a. : “ Wahai manusia sesungguhnya kamu membaca ayat ini ( wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah pertunjuk ) dan sedangkan aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: Sesungguhnya manusia itu apabila melihat seorang zalim melakukan kezaliman lalu ia tidak mencegahnya maka hampirlah azab Allah S.W.T. ke atas mereka" (Riwayat Tirmizi)


Sekiranya kamu melihat kezaliman sedang berlaku dihadapan mata kamu dan ia menjalar ke dalam pilihan raya sedang kamu mempunyai kemampuan mencegahnya maka berpandukan kepada hadith di atas Wajib ke atas kamu berusaha menyekat, mencegah dan membasmikannya supaya terlepas dari azab Allah S.W.T. Bahkan seseorang yang menunaikan syahadahnya sebelum dituntut menunaikannya adalah lebih baik di sisi Islam. Hadrat Zaid bi Khalid R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :


“Ingatlah ! Aku hendak khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang paling baik menunaikan syahadah, dia ialah orang yang menunaikan syahadahnya sebelum dituntut menunaikannya”


Tidak syak lagi mengundi di dalam pilihan raya adalah merupakan syahadah. Seluruh hukum di dalam Al-Quran dan As-Sunnah adalah tertakluk ke atasnya. Sebab itulah menjaga hak pengundi, memastikan ia digunakan dengan betul demi kepentingan agama adalah wajib ke atas setiap individu muslim.


Sekiranya ulama dan golongan intelektual mengecualikan diri daripada menyertai pilihan raya dalam segenap sudut, maka segenap sudut itu akan dipenuhi dengan kejahatan dan fitnah, seterusnya ia akan dikuasai oleh tangan-tangan jahil yang tidak mempunyai ilmu dan kefahaman agama. Sekiranya perkara seumpama ini berlaku tanpa sebarang penentangan maka kerajaan atau kuasa pemerintahan yang ada pada hari ini tidak akan sekali-kali jatuh ke tangan ahli-ahli agama dan orang-orang yang layak memegang amanah.


Tidak ada hak ke atas golongan agama mempertikaikan kemusnahan agama, negara, keruntuhan moral di kalangan masyarakat khususnya muda-mudi hari ini, kerana semuanya ini berpunca dari pengecualian diri mereka dengan politik pilihan raya. Merekalah yang bertanggungjawab di atas kerosakan dan kefasadan yang telah dan akan melanda generasi selepas mereka selagi mereka tidak berusaha menyekat penyelewengan yang ada pada hari ini.

Wednesday 13 January 2010

Syiah Sesat lagi menyesatkan

Assalamualikum semua...

Semalam 10 Muharram 1431 H mengingatkan saya kembali nostalgia lama ketika berada di Pakistan Karachi. Saya teringat betapa sesatnya golongan syiah di sana yang apabila tiba sahaja 10 Muharram mereka akan mengadakan upacara memperingati HARI KARBALA, iaitu hari saidina Husin mati dibunuh dengan kejam.

Selepas Maghrib mereka akan berarak beramai-ramai menuju ke kubur Ali Jinah yang terletak di pusat bandar Karachi yang dikenali dengan SADAR. Mereka berarak dengan berjalan kaki, ada yang tidak berbaju dan pada malam itu semuanya berpakaian serba hitam, mereka berjalan menuju ke sana sambil melibas badan dengan tangan dan ada yang memukul-mukul badan dengan menggunakan pisau khas sehingga luka.

Mereka melakukan upacara ini dengan penuh semangat dan khusyuk seolah-olah mereka sedang melakukan satu ibadah suci dan pengorbanan besar terhadap agama Islam. Mereka memukul badan sambil berkata YA ALI MADAD (wahai Ali berilah petunjuk).

Upacara ini melibatkan semua lapisan umur, orang tua, muda, remaja dan kanak-kanak. Mereka melakukannya bermula malam sepuluh Muharram sehinggalah ke siang harinya. Apabila semua penganut-penganut syiah yang berarak dari tempat masing-masing sampai ke kubur Ali Jinah, di sana mereka teruskan upacara memukul badan sehingga berdarah sampailah ke siang harinya.

Pada waktu mereka melakukan upacara tersebut, jangan ada penganut sunni yang mengatakan mereka sesat nanti akan diseksa bahkan dibunuh pada waktu itu juga. Kalau kita nak melihat dan buat kajian, kita kena pakai baju hitam dan paling kurang kena libaskan tangan ke dada, macam mereka sambil berkata YA ALI MADAD.

Sebelah petangnya pula, mereka akan berarak ke tepi pantai Clifton untuk melakukan upacara menikam kuda sampai mati sebagai memperingati kuda yang ditunggangi oleh Saidina Husin. Kuda tersebut adalah kuda putih yang bersih, dihiasi dengan pelbagai hiasan di badannya dan diarak beramai-ramai ke tepi pantai lalu ditikam beramai-ramai dengan penuh semangat.

Pada siang hari 10 Muharram juga mereka menyediakan air bandung percuma di tepi-tepi jalan diisikan di dalam tong, sesiapa sahaja boleh mengambilnya. Kemudian mereka akan datang ke setiap rumah untuk mengagihkan bubur asyura secara percuma.

Begitulah gambaran ringkas tentang syiah di Pakistan. Mereka menyeksa diri mereka sendiri atas dasar memperingati dan simpati di atas kematian Saidina Husin yang dibunuh dengan kejam. Sedangkan Nabi menyatakan:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

" Bukan dari kalangan umatku sesiapa yang menampar pipi, mengoyak baju dan menyeru dengan seruan jahiliah " riwayat bukhari

Sedangkan tampar pipipun dilarang oleh Nabi, inikan pula melukakan badan tanpa sebab maka ia terang-terang haram di sisi Islam, sekian...