Monday 1 February 2010

MENGUNDI ADALAH WAJIB SYAR`IE

Fahaman salah yang sedang melanda ummat Islam hari ini adalah berpunca daripada sifat semulajadi mereka sendiri, kerana sifat semulajadi seorang yang mulia akan menolak semua perkara yang bertentangan dengannya.


Oleh kerana percaturan polotik pada hari ini dipenuhi dengan pembohongan, penipuan, rasuah, ugutan dan pembunuhan sesama sendiri lalu mereka menolak seratus peratus pilihan raya serta menganggap politik sesuatu yang tidak berguna , kotor, karut, penuh penipuan, urusan dunia semata-mata dan yang paling menyedihkan apabila mereka menganggap politik dan pilihan raya tidak ada kena mengena dengan agama. Maka ramailah dikalangan masyarakat Islam hari ini tidak membicarakan langsung tentang politik pemerintahan, ada juga yang tidak mengambil apa-apa bahagian dalam pilihan raya sama ada menjadi calon atau mengempen bagi mana-mana pihak atau menyokong mana-mana parti. Ada pula yang tidak mahu mengundi bagi menunaikan hak mereka, malahan membenci politik dan pilihan raya. Semua ini berlaku kerana mereka menganggap politik adalah dunia semata-mata, karut, penuh penipuan dan sebagainya.


Golongan ini, walaupun niat mereka baik, mereka mencintai kebenaran tetapi selagi mana kefahaman salah ini melekat di dalam pemikiran dan fahaman mereka, ia amat membahayakan dan memudharatkan bukan sahaja diri mereka bahkan agama dan negara.


Suatu kenyataan bahawa semenjak dahulu lagi pemerintahan telah dikuasai oleh mereka yang hanya mementingkan kuasa, kesenangan, pangkat dan harta benda tanpa mengambil kira kepentingan agama. Hasil daripada itulah berlakunya penyelewengan demi pemyelewengan dan salah guna kuasa sehingga pada zaman kita pada hari ini. Perkara ini akan berterusan selagi mana para ulamak, orang-orang yang amanah tidak menonjolkan diri dalam arena politik, tidak mahu menjadi calon serta tidak mahu mengundi dan mengempen.


Najis penyelewengan akan menyerap sedikit demi sedikit daripada buruk kepada bertambah buruk, teruk kepada bertambah teruk, bermula dari kesalahan yang membawa kepada fasiq sehinggalah kesalahan yang membawa kepada syirik iaitu persoalan aqidah. Penyelewengan yang bermula dari pemimpin akan menjalar kepada rakyat sama ada tua atau muda dan terus menyusup ke setiap rumah satu persatu. Seorang yang cerdik dan bermaruah tidak akan membiarkan penyelewengan berterusan berlaku atau hanya melihat dan memperkatakan dari jauh tanpa membuat sebarang tindakan bahkan mereka hendaklah terjun sendiri ke dalam medan politik, bertarung dan berusaha sedaya upaya membasmi segala kemungkaran, penyelewengan dan memperbetulkan kesalahan mengikut kehendak Islam yang sebenar serta memimpin manusia ke arah kebenaran.


عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ أَنَّهُ قَالَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ ( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ) وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ ( رواه الترمذي )


Terjemahannya : Berkata Abu Bakar As-Siddik r.a. : “ Wahai manusia sesungguhnya kamu membaca ayat ini ( wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah pertunjuk ) dan sedangkan aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: Sesungguhnya manusia itu apabila melihat seorang zalim melakukan kezaliman lalu ia tidak mencegahnya maka hampirlah azab Allah S.W.T. ke atas mereka" (Riwayat Tirmizi)


Sekiranya kamu melihat kezaliman sedang berlaku dihadapan mata kamu dan ia menjalar ke dalam pilihan raya sedang kamu mempunyai kemampuan mencegahnya maka berpandukan kepada hadith di atas Wajib ke atas kamu berusaha menyekat, mencegah dan membasmikannya supaya terlepas dari azab Allah S.W.T. Bahkan seseorang yang menunaikan syahadahnya sebelum dituntut menunaikannya adalah lebih baik di sisi Islam. Hadrat Zaid bi Khalid R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :


“Ingatlah ! Aku hendak khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang paling baik menunaikan syahadah, dia ialah orang yang menunaikan syahadahnya sebelum dituntut menunaikannya”


Tidak syak lagi mengundi di dalam pilihan raya adalah merupakan syahadah. Seluruh hukum di dalam Al-Quran dan As-Sunnah adalah tertakluk ke atasnya. Sebab itulah menjaga hak pengundi, memastikan ia digunakan dengan betul demi kepentingan agama adalah wajib ke atas setiap individu muslim.


Sekiranya ulama dan golongan intelektual mengecualikan diri daripada menyertai pilihan raya dalam segenap sudut, maka segenap sudut itu akan dipenuhi dengan kejahatan dan fitnah, seterusnya ia akan dikuasai oleh tangan-tangan jahil yang tidak mempunyai ilmu dan kefahaman agama. Sekiranya perkara seumpama ini berlaku tanpa sebarang penentangan maka kerajaan atau kuasa pemerintahan yang ada pada hari ini tidak akan sekali-kali jatuh ke tangan ahli-ahli agama dan orang-orang yang layak memegang amanah.


Tidak ada hak ke atas golongan agama mempertikaikan kemusnahan agama, negara, keruntuhan moral di kalangan masyarakat khususnya muda-mudi hari ini, kerana semuanya ini berpunca dari pengecualian diri mereka dengan politik pilihan raya. Merekalah yang bertanggungjawab di atas kerosakan dan kefasadan yang telah dan akan melanda generasi selepas mereka selagi mereka tidak berusaha menyekat penyelewengan yang ada pada hari ini.

No comments:

Post a Comment