Sunday 28 March 2010

MEMBERI UNDI KEPADA YANG BUKAN AHLI ADALAH DOSA BESAR

Setengah golongan beranggapan bahawa tidak seorang pun dikalangan kita yang tidak berdosa, semuanya melakukan dosa, bermula daripada pagi hinggalah ke malam. Kita semua bergelumang dengan dosa, jadi apa yang hendak dipelikkan sekiranya memberi undi kepada orang yang bukan ahli juga merupakan dosa, kita memang berdosa, siapakah yang maksum dikalangan kita ? Jadi apa yang hendak dipelikkan sekiranya kita melakukan satu dosa dalam keadaan kita sudah banyak melakukan dosa. Tidak hairanlah kita menyandarkan satu dosa kepada dosa-dosa yang sedia ada..

Fahamilah baik-baik!!! Bahawa semuanya ini adalah tipu daya nafsu dan syaitan yang paling merbahaya. Sekiranya manusia setiap kali dia melakukan dosa dan berfikiran sebagaimana di atas, maka tidak sekali-kali dia akan dapat memelihara dirinya daripada melakukan dosa. Tetapi jika sekiranya seseorang itu terkena sedikit kekotoran lalu dia terus berusaha untuk mencegah dan membersihkannya, orang yang seumpama ini boleh membakar beberapa kolam kekotoran.

Perlu difahami bahawa di antara satu dosa dengan dosa yang lain tidak serupa. Sekiranya dosa yang kita lakukan itu kesan buruknya menimpa ke atas seluruh rakyat, maka dosanya adalah jauh lebih besar kalau dibandingkan dengan dosa yang kesan buruknya hanya menimpa ke atas diri sendiri.

Jenis “Dosa Infiradi” ( individu ) walau bagaimana besar sekalipun tetapi kesan dan akibatnya hanya menimpa ke atas dua atau tiga orang sahaja. Sementara kaffarahnya dapat dilakukan melalui taubah dan istighfar. Harapan untuk mendapatkan keampunan bila-bila masa boleh berlaku. Tetapi jika sekiranya kesan dan akibat dosa yang dilakukan itu menimpa negara dan seluruh rakyat, maka dosa yang seumpama ini, tidak ada sebarang bentuk kaffarahnya di dalam Islam. Ia diibaratkan seumpama anak panah yang keluar dari busurnya dan tidak akan kembali lagi. Sebab itulah seseorang yang melakukan dosa yang seumpama ini, Jika sekiranya dia bertaubat maka paling kurang dosa yang telah lalu payah untuk dihapuskan dan harapan untuk berlepas diri daripada azab Allah S.W.T. adalah tipis. Berdasarkan kepada faktor ini maka dosa berzina, mencuri dan merompak juga tergolong di dalam dosa-dosa besar, tetapi masih kecil kalau dibandingkan dengan dosa yang kesan buruknya menimpa ke atas negara dan seluruh rakyat (iaitu memberi undi kepada mereka yang tidak mahu menegakkan hukum Allah dan mengekalkan undang-undang thoghut).

Memang benar bahawa saban hari kita melakukan pelbagai jenis dosa, kecil atau pun besar. Sungguhpun begitu dosa-dosa yang seumpama ini, insya-Allah, akan diampunkan oleh Allah S.W.T. jika sekiranya kita benar-benar bertaubat dan kita boleh membayar kaffarah bagi memohon keampunannya. Tetapi sedarilah ! janganlah kita sering melakukan dosa sehingga kita sanggup melakukan dosa yang tidak ada jalan untuk membayar kaffarah dan sukar untuk mendapat keampunan.

Ada juga yang berpendapat bahawa apalah yang ada pada satu undi kalau hendak dibandingkan dengan beribu-ribu undi ? Sekiranya satu undi sahaja diberikan kepada orang yang memperjuangkan kebathilan, apalah salahnya dan apakah kesannya yang akan menimpa agama, negara dan rakyat ? Kerana undi yang satu tidak ada harga kalau hendak dibandingkan dengan beribu-ribu undi yang lain.

Fahamilah dengan sebaik mungkin ! sekiranya setiap individu pada waktu mengundi berfahaman bahawa satu undi sahaja bukannya ada harga sangat, maka ketika itu berlakulah pemberian undi dengan bebas dan mengikut sesuka hati dikalangan pengundi.

Kita mestilah memahami bahawa undang-undang pilihan raya yang ada pada hari ini menilai kemenangan seseorang berdasarkan kepada bilangan undi terbanyak (majoriti). Sesiapa sahaja boleh memerintah negara dan rakyat apabila memperolehi kelebihan undi, walaupun hanya dengan satu undi yang diperolehi itu dari seorang yang buta atau jahil.

Sekiranya seorang calon yang rosak agama, aqidahnya dan akhlaknya bertanding dengan seorang calon yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut dan menang dengan satu undi sahaja, maka dia dikira menang dalam pertandingan dan boleh menguasai dan memerintah negara dan masyarakat Islam mahu pun kafir. Begitulah juga seorang yang jahil dan buta yang tersalah membuang undi menyebabkan orang yang tidak faham agama akan menang dan boleh memusnahkan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu tiap-tiap undi mempunyai nilai dan harga yang mahal. Setiap individu muslim mestilah mengambil sikap berhati-hati dalam menunaikan haknya dalam pilihan raya, supaya undinya diberikan kepada mereka yang berhak dan layak menerimanya.

Sunday 7 March 2010

Pilihanraya Bukan Urusan Dunia Semata mata

Fahaman salah yang merbahaya, yang sedang melanda ummat Islam hari ini ialah anggapan mereka bahawa agama itu hanyalah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja sedangkan politik pilihan raya dan muamalah hidup tidak ada kena mengena dengan agama dan menganggap ia hanya duniawi semata-mata.


Oleh yang demikian, ramai dikalangan ummat Islam yang sembahyang, puasa dan tidak pernah meninggalkannya serta mengikut syarat-syarat dan rukun-rukunnya tetapi tidak pernah memikirkan tentang halal haram dalam muamalah jual beli, dalam nikah kahwin, talak dan persaudaraan Islam yang ada hubung kaitnya dengan hukum Islam.

Masyarakat Islam yang seumpama ini akan menganggap bahawa pilihan raya adalah duniawi semata-mata. Berdasarkan kepada fahaman inilah mereka bebas memilih sesiapa sahaja yang memerintah dan tidak merasa berdosa di atas pilihan mereka itu. Natijahnya kita dapati ramai dikalangan masyarakat Islam hari ini yang memberi undi mereka kepada orang yang bukan ahli sedangkan mereka sendiri tahu orang yang mereka pilih itu tidak layak, tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam. Mereka juga tahu lawan yang bertanding dengan pilihannya adalah lebih berhak diundi tetapi sengaja tidak memilihnya.


Semua ini berlaku kerana mereka mengundi bukan atas dasar agama tetapi atas dasar kawan, keturunan, keluarga, wang ringgit dan nafsu. Mereka telah menyalahgunakan hak mengundi dan tidak terasa bahawa mereka telah melakukan jenayah dan dosa mengikut pandangan syarak. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini bahawa suara (pembuangan undi) adalah merupakan syahadah. Al-Quran mengajar kita bahawa :


“Apabila kamu mengucapkan sesuatu maka hendaklah kamu bersikap benar dalam ucapanmu walaupun ucapan kamu menyalahi kaum kerabat kamu” ( Al – Ana’m )


Menunaikan hak mengundi dengan betul adalah dianggap menunaikan amanah, sekiranya kita memberi undi kepada orang yang tidak layak sedangkan di waktu itu ada orang lain yang lebih layak, maka pada waktu itu, berdasarkan kepada harga dan nilai undi, kita telah memberi syahadah dusta. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. memberi amaran supaya meninggalkan cakap bohong, disamping itu Allah S.W.T. mendedahkan najis penyembahan berhala melalui firmanNya :


“ Jauhilah najis penyembahan berhala dan jauhilah bercakap bohong”


Banyak hadith yang menerangkan bahawa syahadah dusta termasuk dalam dosa-dosa besar dan akan menerima azab dari Allah S.W.T. Hadharat Abu Bakar As-siddiq menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : “Adakah kamu tahu apakah itu dosa-dosa besar ? Iaitu menyekutukan Allah dengan yang lain, menderhakai kedua ibubapa dan dengarlah baik-baik ! sambil dia bangun dari tempat duduknya lalu mengucapkannya dalam keadaan berdiri : “Memberi syahadah dusta dan bercakap bohong juga adalah dosa besar, beliau mengulanginya beberapa kali sehingga kami berkata di dalam hati kami mudah-mudahan beliau berhenti dari ucapannya”. Janji buruk ini hanyalah akan menimpa ke atas mereka yang menyalahgunakan hak mengundi disebabkan hubungan peribadi dan wang ringgit, mereka menunaikannya kepada orang yang bukan ahli.